29 June 2011

Jualan Puspanita kembali di Kastam Putrajaya

Wow.... Aku kembali menggegarkan Puspanita di Kastam. Pada awalnya hanya sekadar nak tengok-tengok saje. Oleh kerana terlampau syiokk sgt memerhati barang-barang yg ada, terbeli pulak (opps terbeli... iyeke?) purse untuk myself dan minyak attar kasturi hitam buat hubby...




Ok, sekian terima kasih.

Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh

Assalamualaikum

*Seperti yang semua maklum, nama puteraku Muhammad Fatih Mirza... Fatih bermaksud pembuka, perintis. Nama Fatih juga diambil sempena nama Pahlawan Islam iaitu Sultan Muhammad II iaitu Sultan Muhammad al-Fateh.*


PENGENALAN


Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.


Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”


Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.


Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.


Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KECIL


Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.


Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.


Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.

Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

ZAMAN REMAJA


Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.


ZAMAN DEWASA


Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.


Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.


Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:


“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”


Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.

MEMBUKA KONSTANTINOPLE


Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.


Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.

Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.

Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.


Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.


Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.

Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”


Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!


Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.


Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.


JUMAAT BERSEJARAH


Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:


“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”


Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.


“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”


Sebahagian daripada tenteranya duduk.


“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”


Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?


AKHIR HAYAT


Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.

Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.

KISAH POTRET SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH


Potret ini memang masyhur. Siapakah pelukisnya?

Pelukisnya ialah seorang Itali bernama Genti le Bellini. Dia dihantar oleh Senat Venice ke Istanbul pada tahun 1479 untuk bertemu dengan Sultan Muhammad al-Fateh atas urusan hubungan diplomatik. Dialah yang melukis potret baginda.

PEMBUKA KONSTANTINOPLE SETERUSNYA


Hadis Nabi bercerita tentang kedatangan Yakjuj Makjuj. Kedatangan tentera Khazar, Monggol dan Rusia juga ternyata gerombolan Yakjuj Makjuj. Namun Yakjuj Makjuj yang utama akan muncul selepas kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa al-Masih nanti.


Begitu juga dalam kes Pembuka Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya memang benar sebaik-baik raja dan tentera pada zaman mereka yang berjaya membuka Konstantinople, namun Pembuka Konstantinople yang utama akan tiba tidak lama lagi. Mereka juga sebaik-baik raja dan tentera, untuk penghujung akhir zaman ini.


Kita lihat apa yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitamy dalam kitabnya Al-Qaul al-Mukhtasor fi ‘Allamah al-Mahdiy al-Muntazor:


“Al-Mahdi akan memerangi Rom selama 3 hari. Pada hari ketiga itulah Rom runtuh. Kemudian menyerang Konstantinople. Ketika mereka membahagi-bahagikan emas di Konstantinople dengan memakai takaran perisi, tiba-tiba ada orang yang berteriak: “Sesungguhnya Dajjal telah menundukkan keluarga-keluarga kamu semua.”

“Al-Mahdi akan menundukkan Konstantinople dan Jabal ad-Dailam.” (Abu Nuaim)


Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya mereka menundukkan Konstantinople dan Rom dengan membunuh 40,000 jiwa……. Ketika mereka membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita kedatangan Dajjal…”


Sabda Nabi:

“Peperangan yang terbesar ialah tertakluknya Konstantinople. Dan keluarnya Dajjal ialah selama 7 bulan.”


Hadis riwayat al-Hakim:

“Sesungguhnya pasukan yang menundukkan Konstantinople ialah pasukan Hijaz……. Kemudian mereka dikejutkan dengan orang meneriakkan tentang kedatangan Dajjal.”


“Tertakluknya Konstantinople ialah keluarnya Dajjal.”


“Ketika menundukkan Konstantinople, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk mengambil wudhuk dan mengerjakan solat Subuh.”


Cuba perhatikan, penaklukan Konstantinople dikaitkan dengan al-Mahdi dan pra-kezahiran Dajjal. Maksudnya pembukaan utama Konstantinople belum berlaku. Ia akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera iaitu Imam Mahdi dan pasukannya.


Anda mahu jadi salah seorang ahli pasukannya yang sebaik-baik tentera itu? Bandingkan amalan anda dengan amalan para perajurit Pembuka Konstantinople yang pertama iaitu tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Tentunya kualiti tentera yang membuka akan membuka Konstantinople kali ini adalah lebih hebat daripada yang pertama. Layakkah anda?


Satu hal yang menarik, orang yang mengatakan Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam ialah Nabi Muhammad saw, Pembuka Konstantinople yang pertama ialah Sultan Muhammad manakala Pembuka Konstantinople yang utama ialah Muhammad bin Abdullah iaitu al-Mahdi. Ketiga-tiganya Muhammad.

Sumber: taufiqduta.blogspot.com

28 June 2011

Kenapa tulis blog?

Gambar dari Mr. Google


Assalamualaikum

Bila difikir-fikirkan balik kenapa mesti aku tulis blog? Jap aku fikir dan muhasabah diri dulu. Ya.... antara sebab-sebabnya ialah

1) Aku boleh luahkan perasaan. Aku lebih suka menulis... Menulis itu satu ketenangan bagi aku. Menulis juga boleh menyampaikan sesuatu kepada seseorang untuk memahaminya... So, aku taip saja apa yang terasa di hati....

2) Bila aku takde nak buat ape, aku suka taip macam2 di blog aku sendiri. Takde sapa boleh halang aku bercerita tentang apa saja. Tapi takde la sampai nak hentam orang atau maki2 orang.

3) Boleh share ilmu dgn kawan2.Kongsi apa saja tentang perkara yang kita tahu. Mana tahu, mungkin ada somebody boleh tunjukkan kepada kita tentang ilmu yang kita tak pernah tahu.

4) Boleh earn money juga... pasang iklan nuffnang atau iklan apa saja untuk tambah pendapatan. Untung-untung dapat cek. Boleh gi shopping...

5) Dengan menulis blog, aku boleh mengabadikan cerita mahupun gambar family dan kawan-kawan untuk kenang-kenangan. Mana tahu bila aku dah takde nanti, boleh baca blog ni utk ubati rindu kat aku... (ayat sedih di waktu hujan)

6) Aku juga boleh tambah kawan baru... Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.

7) Aku juga promote barang-barang yang aku jual... *Boleh tambah pendapatan juga* Wahhh aku terus mengejar cita-cita jadi usahawanita termahsyur =)

8) Aku juga boleh share peraduan dengan semua orang =) Kalo takde rezeki aku, mungkin rezeki korang....

9) Boleh buat pengumuman tentang sesuatu yang best.... Aku boleh menulis pengumuman tentang sesuatu perkara atau event, misalnya jualan murah, gathering dan sebagainya.

10) Paling aku suka, aku tulis blog ni, boleh naikkan saham akhirat aku... tulis saje ilmu-ilmu berkaitan apa saje tentang perkara positif contohnya tentang ciri-ciri wanita solehah. Korang baca, dapat ilmu dan dapat pahala. Kalau aku tulis pasal gosip contohnya pasal kenapa Fasha Sandha terlalu seksi... korang baca dan percaya, maka dapatlah dosa untuk saham akhirat nanti. Selagi tak padam entry tu, selagi itulah perkara tu berpanjangan. Senang kan.. Senang buat pahala, mudah untuk dapat dosa. Fikir-fikirkanlah....

27 June 2011

Jika aku surirumah sepenuh masa.....


Di sini, aku terberangan tentang aku di masa depan. Berangan kalau aku akan jadi surirumah sepenuh masa... Lepas Subuh, siapkan breakfast. Hantar anak-anak ke sekolah dan pegi pasar. Basuh baju, kemas rumah, masak dengan sepenuh hati. Tengahari hantar makanan untuk anak-anak, Bila petang, lipat baju sambil tengok drama bersiri setiap hari. Pastu, siapkan juadah untuk petang dan ambil anak-anak balik dari sekolah dan siram pokok. Bila malam pula, siapkan hidangan malam, basuh pinggan dan tengok buku-buku kerja sekolah anak-anak.


Wahhh.....Siapa kata surirumah tak sibuk? Penat wowowowo.... Kalau aku jadi surirumah, mesti badan aku kurus. Malah kakak-kakakku ramai yg jadi suri rumah sepenuh masa... Kakakku juga ada mengambil pembantu rumah separuh masa untuk bantu kerja rumah yang bertimbun-timbun. Bayangkan kalau suatu hari jadi surirumah..... Bagus untuk jaga dan pantau anak-anak... Bagus rumahtangga lebih terurus. Tapi bila aku boleh jadi surirumah ye.... Dengan ekonomi barang naik, keperluan rumah semua naik tak turun-turun turut jadi penyumbang masalah kewangan bagi sesebuah keluarga yang berpendapatan rendah....


Nak bayar bil-bil yang wajib spt bil air, elektrik, telefon... tu belum lagi bil broadband, Astro dan macam2 bil lagi. Tambahan pula, kalau pakai 2 buah kereta lagi lah pengsan nak maintain kalau seorang yang bekerja.... Duit minyak dah tentu kena isi. Tol? Mana nak lari dari bayar tol. Bayar sewa rumah lagi (bagi yg menyewa) atau bayar ansuran rumah (bagi yang dah beli rumah). Belum masuk duit belanja anak-anak sekolah dan tusyen anak-anak lagi... Kalau pergi ke gedung beli-belah untuk beli keperluan keluarga, mesti kopak RM 200-RM300 punya.... Tak termasuk sakit pening lagi... Kalau pendapatan RM 1500 sebulan, kira macam curahkan ke air je.... lagi-lagi duduk kat bandar besar. Kalau duduk di kampung mungkin lebih murah lagi.


Sekiranya aku jadi surirumah, mungkin aku kena buat satu website untuk bisnes kecil-kecilan buat wanita dan kanak-kanak.... atau mungkin aku belajar buat kek yg sedap dan cantik-cantik dan buka tempahan kepada orang yang sudi menempah...


Pernah tak korang terfikir untuk jadi surirumah dan apa yang korang akan buat bila duduk rumah je?


26 June 2011

Selamat hari lahir hubby....

Setelah kufikir2kan hadiah apa nak bagi, akhirnya cuma sebiji kek comel je dapat ku hadiahkan buat hubby. Bagi aku, cukuplah sebiji kek untuk ulangtahun kelahiran suamiku yg ke 41. Hehe... hubby ku dah 40's.... Kehadirannya di dalam hidupku banyak mengajar aku menjadi seorang yang matang dan sabar dalam apa jua keadaan.... Dialah penasihat aku, dialah cikgu aku, dialah penjaga aku, dialah peneman hidup aku (harap sampai ke mati)...

Sayang,
Selamat hari lahir
Semoga dilimpahi rezeki yang berkat
Semoga sihat dan dipanjangkan usia
Semoga awak sayang saya dan Fatih sampai bila-bila....
Semoga impian awak jadi kenyataan.


Majlis ini dilangsungkan seramai 3 orang saje...

24 June 2011

Ku Menunggu - Rossa



Ku Menunggu - Rossa

ku menunggu, ku menunggu kau putus dengan kekasihmu
tak akan ku ganggu kau dengan kekasihmu
ku kan selalu di sini untuk menunggumu

cinta itu ku berharap kau kelak kan cintai aku
saat kau telah tak bersama kekasihmu
ku lakukan semua agar kau cintaiku

reff:
haruskah ku bilang cinta
hati senang namun bimbang
ada cemburu juga rindu
ku tetap menunggu

haruskah ku bilang cinta
hati senang namun bimbang
dan kau sudah ada yang punya
ku tetap menunggu

datang padaku, ku tahu kelak kau kan datang kepadaku
saat kau sadar betapa ku cintaimu
ku akan selalu setia tuk menunggumu

repeat reff

haruskah ku bilang cinta
hati senang namun bimbang
ada cemburu dan juga rindu
dan aku tetap menunggu

haruskah ku bilang cinta
hati senang namun bimbang
dan kau sudah ada yang punya
ku tetap menunggu

22 June 2011

Ikan Masin Kurau + Nenas Masak Lemak Cili Api ala Nogoghi Sombilan....

Assalamualaikum

Kalo dah namanya orang Negeri Sembilan, dah tentu kena pandai masak lemak cili api. Masakan yg selalu mak aku buat. tak kisah le ikan apapun, sayur apepun. Semua boleh.... Actually, senang je masak lemak ni. Jom aku kongsi resipi Ikan Masin Kurau + Nenas Masak Lemak Cili Api ala Nogoghi Sombilan.... Memang senang sangat. Main lebur-lebur je. Sesape yg nak cuba buat, silakan ambil resipi ni. Memang tidak menghampakan.

Sebelum dimasak

Selepas dimasak

Resipi Ikan Masin Kurau + Nenas Masak Lemak Cili Api ala Nogoghi Sombilan
(Untuk 2-3 orang)

Bahan-Bahan

1) 1/2 biji nenas - dipotong kecil
2) 2 keping ikan masin kurau
3) santan 1 kotak - asingkan 1/3 santan untuk pati
4) 2 batang serai - diketuk
5) 8-9 biji cili padi kalau suka pedas boleh tambah lagi *
6) seinci kunyit hidup lagi sedap dari kunyit serbuk *
7) seulas bawang kecil - dimayang

Cara memasak

1. Kisar halus bahan bertanda *.
2. Masukkan ikan masin, nenas, 2/3 santan kotak tadi, bahan kisar, bawang serta serai ke dalam periuk.
3. Masukkan air 2 cawan. Masak di atas api sehingga mendidih. Kacau perlahan-lahan supaya tidak pecah minyak selama 5 minit.
4. Setelah mendidih. Masuk 1/3 pati santan kotak tadi untuk lebih sedap lagi.
5. Kira-kira 2 kemudian, tutup api dan sedia dihidang.

Selamat mencuba ye....

21 June 2011

Senarai Kesyukuran

Assalamualaikum

Hari ni aku relax sikit sebab boss aku takde kat ofis. So, boleh la aku terjah blog-blog yang best seperti Fatin Liyana, Hanis Zalikha, Blog Serius dan juga blog kawan-kawan aku yang lain. Sambil aku terjah terjumpa pula senarai kesyukuran di blog Hanis Zalikha. Aku pun nak buat list macam dia la...

Senarai kesyukuran aku adalah seperti berikut:

1) Aku bersyukur masih ada orang sayang sama aku.

2) Aku bersyukur punyai anak comel dan suami yang caring.

3) Aku bersyukur mak dgn abah selalu ambil berat pasal aku macam aku ni budak remaja walhal aku dah pun kahwin sejak 5 tahun lalu =)

4) Aku bersyukur punyai rumah kuarters yang selesa untuk aku tinggal.

5) Aku bersyukur aku kerja tetap di tempat aku sekarang.

6) Aku bersyukur aku sihat walafiat. Minta dijauhkan sebarang penyakit kronik.

7) Aku bersyukur punyai mata yg boleh melihat ciptaan Allah, telinga yang boleh mendengar, mulut yang boleh berkata-kata dan deria rasa yg boleh menilai.

8) Aku bersyukur kerana punyai kenderaan yg boleh ke sana ke sini.

9) Aku bersyukur walaupun tak secantik Nora Elena atau Hanis Zalikha, aku juga ada rupa yang sempurna.

10) Aku bersyukur mak selalu masak lauk sedap-sedap bila aku balik rumah mak.

11) Aku bersyukur mak mertua aku tak banyak kerenah dan tak banyak songeh.

12) Aku bersyukur kakak-kakakku ramai boleh dengar cerita merapu dan lawak bodoh aku.

13) Aku bersyukur bila aku nangis sedih, masih ramai yang sudi sharing.

14) Aku bersyukur aku sekolah asrama, sekurang-kurangnya aku tahu berdikari.

15) Aku bersyukur aku punyai blog dan korang sudi baca blog aku.

16) Aku bersyukur tempat kerja aku tak block blogger.com. Kalo tak, mesti hidup aku sunyi.

17) Aku bersyukur aku masih lagi diberi detik-detik untuk bernafas.

18) Aku bersyukur bila buka mata, aku dapat tengok senyuman hubby dan anak aku.

19) Aku bersyukur kerana pernah putus tunang dulu.

20) Aku bersyukur tuhan masih beri rezeki yang cukup untuk keluargaku.

21) Aku bersyukur aku boleh menahan hati dan memaafkan bila berhadapan dengan mulut-mulut puaka.

22) Aku bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga Islam dan jadi pengikut Rasulullah SAW.

23) Aku bersyukur hubby lebih sabar dari aku dan selalu memahami dengan sikap aku.

24) Aku bersyukur aku bukan seorang yang sakit mental.

25) Aku bersyukur masih lagi boleh menikmati makanan kegemaranku.

26) Aku bersyukur ayahku tidak pernah buat hal atau nak kawin lagi satu.

27) Aku bersyukur hubby aku bukan seorang yang gatal.

28) Aku bersyukur kerana masih punyai kudrat untuk membina kehidupan.

29) Aku bersyukur aku tidak dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah.

30) Aku bersyukur mak bapak aku jaga aku dengan baik.

31) Aku bersyukur Malaysia masih lagi aman dan tenteram.

32) Aku bersyukur walaupun tak reti sangat masak tapi hubby tetap bagi kata-kata semangat untuk aku terus perbaiki masakan aku.

33) Aku bersyukur Fatih cukup sifat dan sempurna akalnya.

34) Aku bersyukur dengan apa yang ada.

35) Aku bersyukur boss aku tak banyak songeh.

36) Aku bersyukur kawan-kawan opis aku tak bermusuh dengan aku.

37) Aku bersyukur nanny Fatih jaga Fatih dengan baik dan memahami.

38) Aku bersyukur aku tak banyak hutang.

39) Aku bersyukur tak berkahwin dengan orang gila.

40) Aku bersyukur saiz baju kurung aku tak perlu ditukar dari zaman remaja.

41) Aku bersyukur sebab orang selalu belanja aku makan yang best2.

42) Aku bersyukur anak-anak buah aku ramai dan sayang kat aku.

43) Aku bersyukur tinggal di Putrajaya yang bebas dari hiruk pikuk kota besar.

44) Aku bersyukur bila raya, ada lagi orang bagi duit raya.

45) Aku bersyukur aku tak terkena buatan sihir.

46) Aku bersyukur ada koleksi handbag.

47) Aku bersyukur jalani hidup macam orang biasa-biasa saja.

48) Aku bersyukur punyai lesung pipit.

49) Aku bersyukur dapat makan.

50) Aku bersyukur dapat tidur lena di waktu malam.

51) Aku bersyukur hubby bukan seorang yang panas baran yang suka lempang orang.

52) Aku bersyukur mak dgn abah masih ada.

53) Aku bersyukur aku boleh mengaji.

54) Aku bersyukur aku boleh gunakan kaki, tangan dan segala anggota badan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

55) Aku bersyukur aku bersalin dgn mudah tanpa masalah-masalah yg menyeramkan.

56) Aku bersyukur dengan segala-galanya yang ditentukan olehNya kerana itu yang terbaik buat aku.

Banyak lagi perkara yang aku bersyukur tapi 56 perkara saja yg dapat aku tulis. Semua ini adalah nikmat yang Allah berikan. Mungkin satu hari nanti Dia tarik salah satu nikmat yang aku ada tapi aku sebagai seorang manusia yang lemah seharusnya bersyukur dengan apa yang ada... Semoga kita tidak lupa bahawa segala-galanya dikurniakan oleh Allah SWT.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...