19 September 2012

Tanggungjawab Menantu Terhadap Mertua

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.....

Ok, kali ni aku nak sentuh tentang tajuk di atas sebab aku rasa ramai yang tak berapa faham tentang tanggungjawab masing-masing terhadap mertua. Oleh kerana aku telah terjumpa satu artikel dalam majalah MIDI (bil. 144) tentang hubungan menantu terhadap mertua dan hubungan mertua terhadap menantu, maka aku kerahkan juga jari-jemariku untuk menaip artikel tersebut. Semoga anda semua mendapat petunjuk dan hidayah setelah membaca apa yang aku cuba kongsikan ini.....

Gambar hiasan: Google

Setiap kali memperkatakan soal hubungan dengan mertua, pastinya macam-macam perkara yang mula menerjah. Tidak kira sama ada negatif mahupun positif penerimaan menantu terhadap mertua.

Masyarakat sering dihidangkan dengan kisah2 negatif yg berlaku antara mertua dan menantu dalam drama  mahupun filem. Malah, tanpa mengira bangsa, paras rupa, keturunan dan agama, hubungan antara menantu dan mertua terutamanya ibu mertua dengan menantu perempuan sering dihimpit masalah dan tekanan.

Tidak dinafikan perkara seperti ini berlaku dalam masyarakat tetapi bagi menantu sangat akrab dan baik dengan mertua seharusnya bersyukur kerana anda dapat menjalinkan hubungan tanpa sebarang masalah.

Di sebalik permasalahan yang mungkin timbul antara seorang menantu dan mertua, terdapat tanggungjawab yang dipikul oleh menantu yang memastikan mertua berada dalam keadaan yang selesa. Tidak kira bagaimana layanan yang diterima daripada mertua, menantu wajar menghormati mertua sebagaimana dia menghormati ibu bapa sendiri.

TANGGUNGJAWAB MENANTU LELAKI

Apabila memperkatakan tentang hubungan menantu dan mertua, sering menjurus ke arah hubungan mertua dengan menantu perempuan semata-mata. Tahukah anda bahawa menantu lelaki mempunyai tanggungjawab yang berat terhadap mertua, berbeza dengan menantu perempuan?

Jika seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang perlu ditaati selepas Allah dan Rasul, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka haruslah menghormati ibu mertua diikuti bapa mertua selepas Allah dan Rasul.

Islam meletakkan mertabat yg tinggi terhadap ibu, bapa dan juga mertua. Justeru tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki. Mengabaikan salah seorang daripada mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri.

Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Jika tanggungjawab itu diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan ibu bapanya sendiri diabaikan oleh si suami.

Allah SWT menyuruh kita berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Hal ini jelas dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat." Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." (al-Baqarah: 83)

Dalam ayat yang lain: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa..." (al-Nisa':36) Secara tidak langsung kedudukan ibu bapa sendiri dan mertua adalah sama, tidak kira mertua beragama apa sekali pun. Sama seperti tanggungjawab anak yang sudah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang bukan Islam.

PERANAN MERTUA

Peranan mertua sebenarnya sangat penting dalam kehidupan daripada merekalah berbagai-bagai penduan dan nasihat berhubung dengan soal rumah tangga diperoleh. Jika dilihat, kebanyakan wanita moden kini memilih untuk mempunyai kerjaya dan memerlukan bantuan mertua atau ibubapa untuk menguruskan anak-anak sekiranya tidak mempunyai pembantu rumah.

Maka, bagi menyelesaikan masalah tersebut, ramai yang meminta bantuan mertua mereka yang masih sihat untuk menjaga anak-anak mereka. Oleh itu, selain dapat mengurangkan beban, risiko keselamatan anak-anak akan terjamin apabila berada di bawah jagaan mertua. Namun begitu, sebaiknya usah dibebani mereka dengan tugas yang berat demi memastikan kesihatan mereka yang lebih terjamin.

Selain itu, mertua juga merupakan pembantu terdekat apabila pasangan suami isteri itu menghadapi masalah kos perbelanjaan keluarga. Hal ini berlaku terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah atau pasangan baru mendirikan rumah tangga.

Mereka menjadikan mertua sebagai sumber atau tempat mendapatkan bantuan kewangan, malah tidak kurang juga dalam masyarakat kita, mertua yang menghulurkan bantuan kewangan kepada anak mereka yang telah berumah tangga demi menjamin kebahagiaan anak-anak mereka meskipun tidk dipinta.

Jadi, curahkanlah kasih sayang yang sebaiknya terhadap keluarga mertua, nescaya anda akan memperolehi kehidupan berumahtangga yang lebih aman dan diberkati oleh-Nya.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...