02 October 2012

Apabila ibubapa sudah tua dan berseorangan


Tidak semua anak bertuah dapat menjaga ibu atau ayah yang sudah tua dan menghitung baki usia. Tidak semua itu maksud saya ialah sedikit.
Orang Melayu sering digambarkan mengunjungi ibu bapa / orang tua semasa hari raya. Bagi yang sudah meninggal dunia, maka perkuburan menjadi medan yang dikerumuni seusai solat hari raya. Suasana yang digambarkan adalah sedih dan terharu.
Bagaimanapun, gambaran realiti itu juga sebenarnya menandakan satu fenomena yang tidak ramai menyedarinya, iaitu ibu bapa jarang dijumpai / diziarahi, apatah lagi diberi jagaan, perhatian dan khidmat apabila mereka sudah tua. Zahirnya, saat-saat hari raya itulah yang kita gunakan untuk menggembirakan orang tua kita yang sudah lama kita tidak berjumpa.
Seusai hari raya, kita akan berangkat pulang ke tempat kita bekerja. Ibu bapa kita pun amat memahami komitmen kita, sama ada kerja atau komitmen terhadap keluarga kita sendiri; suami, isteri dan anak-anak.
Setelah kita berjauhan, mungkin ramai yang menitipkan wang ringgit setiap bulan. Ramai juga mungkin akan menelefon setiap minggu. Ramai juga mungkin yang dapat balik menjenguk ibu bapa setiap dua minggu sekali.
Tetapi tidak ramai saya kira yang bertuah dapat melayani ragam orang tua setiap hari. Mungkin apabila saya sebut ragam, kita mempunyai pelbagai tafsiran.
Apabila ibu bapa kita sudah lanjut usia dan anak-anaknya sudah berkeluarga, mungkin ragam ini kurang kita sedari selagi mana kedua-dua mereka masih hidup. Apabila salah seorang jatuh sakit, pasangannya akan mengambil berat dan memberi bantuan, setiap hari, menyebabkan kita masih berada di luar “lingkungan” walaupun melihatnya setiap hari.
Bagaimanapun keadaan ini akan berubah apabila salah seorang daripada ibu bapa kita ini meninggal dunia. Cuba kita bayangkan perasaan pasangan yang ditinggalkan. Setelah sama-sama menempuh kehidupan sebagai suami isteri selama berpuluh tahun, mungkin 20, 30 atau lebih 40 tahun, kematian adalah satu perpisahan yang meninggalkan kesan mendalam kepada pasangan yang ditinggalkan.
Rakan berbual, meluah perasaan, berkongsi kisah suka duka sudah pergi. Untuk selama-lamanya. Diri sendiri pun sedang menghitung baki usia yang entah berapa bilangannya. Cuba bayangkan jika anda berada di tempatnya. Pada siapa anda akan berkawan dan boleh diajak berbual.
Saya tidak mengajak anda memikirkan jika ibu atau bapa yang masih hidup itu jatuh sakit. Saya hanya mahu membayangkan peranan sebagai seorang yang boleh diajak berbual, sebagai ganti pasangannya yang telah pergi. Mohon tidak diserahkan tugas ini kepada jiran sebelah atau kawan baiknya, kerana walau macam mana sekalipun akrabnya mereka, tetap tidak sama dengan anak sendiri.
Ibu atau bapa yang masih hidup ini tidak mempunyai aktiviti seluas aktiviti kita. Dia tidak mempunyai maklumat sebanyak maklumat kita. Kerana dia sudah tua. Janganlah anda jangkakan perbualan yang menyeronokkan kerana pengetahuannya kurang bersifat semasa dan tidak boleh dijadikan rakan sparring untuk anda mencambahkan idea.
Bagaimanapun perbualan dengan sidia yang kita kasihi ini boleh jadi menyeronokkan jika kita mahu menjadikannya begitu. Dia akan menceritakan pengalaman dan kisahnya di zaman muda. Dan ia akan diulang-ulang. Kalaupun tidak terlalu kerap, tetapi ia tetap berulang dan kita yang masih muda menyedarinya. Tetapi dia tetap seronok bercerita. Dengan syarat kita pandai melayan dan mendengar seolah-olah ia pertama kali sampai ke telinga.
Kita mesti menjadikannya sebahagian daripada keluarga kita. Apa maksud saya? Tidakkah memang dia adalah ibu atau bapa kita?
Tidakkah apabila kita merancang untuk membeli baju raya, kita asyik bercakap sesama kita, baju umi, baju abah, baju along, baju adik. Kalau kita tak sebut baju nenek atau atuk, senada dengan baju-baju untuk sesama kita, maka kita telah menyisihkannya, secara kita tak sedari dan tidak berniat. Tapi saya percaya sidia menyedari perkara itu, kerana dia berseorangan, pasangannya sudah tiada, tapi dia adalah orang tua yang amat memahami, tidak akan meluahkan perasaannya itu macam budak kecil, sebaliknya disimpan kemas di sebalik senyuman manis yang mendamaikan sianak. Ini hanyalah satu contoh.
Kalau kita mahu bercuti sekeluarga, adakah sidia termasuk dalam perkiraan, sama taraf dengan yg lain? Atau kita menganggap kehadirannya nanti sebagai sesuatu yang “mengganggu”? Ini hanyalah satu contoh.
Bagi anak perempuan, khidmat kpd suami lebih utama dan kita boleh memahaminya. Tetapi bagi anak lelaki, tiada alasan nampaknya. Itulah sebab harta pusaka diwarisi anak lelaki lebih banyak berbanding anak perempuan.
Adakah kita menyangka bahawa sekali sekala dibawa berjalan makan angin sudah mencukupi? Adakah kita menyangka sekali sekala dibawa makan besar sudah mencukupi? Adakah kita menyangka wang ringgit yang kita kirimkan itu sudah mencukupi? Dan yang lebih penting ialah adakah kita mengira bahawa itulah yang sebenarnya didambakan oleh seorang ibu atau bapa tua daripada anaknya?
Sesungguhnya jika anda dapat bertanya khabar selalu, dan mendengar khabar daripadanya seolah-olah itulah berita yang anda nanti-nantikan, walaupun ia mungkin berita ulangan.. jika itu dapat anda lakukan, saya percaya anda telah melakukan sesuatu yang amat bermakna dalam hidup ini. Hakikat ini hanya disedari setelah sidia “tiada” lagi di sisi.
Letakkanlah orang tua kita di hati kita, sebagaimana kita letakkan isteri, suami dan anak-anak di hati kita. Tidak berkurang walau sedikit pun. Jika itu berlaku, segala kekangan akan menjadi mudah, segala batasan dapat diatasi, segala masalah dapat diselesaikan. Tiada lagi alasan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...